Kiriman Istimewa Dari Ayahanda

Anakanda ayah,


Ketika anak ayah keluar daripada perut ummimu, ayah ternanti-nanti akan teriakan pertama anakanda. Entah mengapa, setiap kali anakanda menangis ayah sentiasa tersenyum. Comel sungguh suara anakanda. Itulah fikiran ayah. Pada saat-saat yang lain, ayah seringkali mencubit lengan ayah berkali-kali . Ayah seperti seolah-olah sedang bermimpi-mimpi di awangan. Masyaalah,

“aku sudah ada anak yang selama ini sangat aku nanti-nantikan”.

Itulah kata-kata yang sering bermain di fikiran ayah.


Anakanda ayah yang dikasihi,

Pada hari pertama ayah memandikan dirimu, ayah berasa begitu sungguh sebak dan terharu. Jiwa ayah pada ketika itu penuh dengan nikmat syukur kerana sedang menikmati nikmat memandikan anak ayah buat kali pertamanya. Ayah menangis dan ayah menangis. Ummi hanya melihat air mata ayah yang turun dengan laju setelah sebegitu lama ayah tidak memperlihatkannya di hadapan ummi.

Pada saat itu, ayah berasa sangat hina dan rendah diri di sisi Allah, kerana manusia seperti ayah diberikan nikmat memiliki cahaya mata sedangkan ayah begitu sedar dan insaf. Tentang kelemahan yang telah ayah kumpulkan bertahun-tahun lamanya sebati menjadi benteng dosa diri. Pada siapakah nikmat Allah yang ingin ayah dustakan. Pada siapakah nikmat Allah yang ingin ayah dustakan. Berkali-kali ayah ingatkan diri ayah tentang mantra itu.


Anak ayah,


Kadangkala, ayah merasakan perjalanan hidup ayah begitu panjang dan amat lama. Dahulu, fikiran ayah begitu jauh merenung tentang impian hidup berkeluarga yang pada ketika itu mustahil untuk direalisasikan. Ayah telah bersendirian begitu lama. Ketika ayah menyaksikan adik - beradik ayah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata. Ayah berasa begitu sunyi dan sepi.

 
Ketika ayah mendidik anak-anak kecil yang comel, ayah seringkali berkata

“ Aduhai, Ya Allah sungguh comel dan manja anak-anak kecil ini. Tidakkah ayah dan ibu mereka mahu mendidik dengan sepenuh jiwa akan roh islam dalam diri mereka?. Jika aku mempunyai seorang cahaya mata, akan aku tajamkan mindanya, akan aku bangkitkan roh islamnya, akan aku persiapkan jiwanya dengan sedaya mampu aku. Akan aku ajarkan mencintai ilmu dan buku. Akan aku hiasi anak aku akan kecantikan dan kesantunan bahasa.

Terlalu banyak akan dan akan, dan ia tidak pernah berakhir.


Ketika itu, ayah berasa begitu jauh dengan tujuan dan makna hidup sebenar. Menjadi begitu pesimis dan sinikal terhadap makna kehidupan. Ayah begitu jauh dengan sangkaan baik terhadap Allah. Saat itulah ayah merasakan misi memiliki keluarga ialah misi yang sangat mustahil.

 
Namun, Allah sentiasa kirimkan manusia - manusia yang baik-baik buat ayah. Merekalah yang menggerakkan ayah untuk sentiasa berusaha mencari makna dalam hidup ayah. Ketika itulah, Allah mengirimkan ummi menjadi suri hati ayah. Ummi, pada ayah sentiasa bersabar dengan segala kelemahan ayah. Ummi sentiasa mendoakan agar ‘mata hati’ ayah tidak lagi berlegar-legar pada dunia yang sementara. Ummi sentiasa menjadikan diri ayah seorang yang mahu mengubah diri ayah menjadi orang yang lebih baik.

 
Dan, Allah kirimkan anakanda pula. Ketahuilah anakku. Setiap kali ayah merenung dan memerhatikan dirimu, ayah berasa begitu sebak kerana ayah diberikan ‘ingatan’ tentang makna dan tujuan hidup ayah. Dan, ayah sentiasa teringat-ingat potongan ayat Allah setiap kali ayah memerhatikan dirimu

 
"Maka ingatlah kepadaKu,
Aku pun akan ingat kepadamu.
Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu."

Surah Al-Baqarah 2:152

 
Allah, Allah. Allah Allah Allah Allah . Ayah menyebut nama tuhan dengan linangan air mata saat ini. Nikmat Allah yang manakah ayah ingin dustakan.


Anakku, terima kasih kerana menjadi anak ayah. Kehadiranmu telah menguatkan lagi ingatan ayah kepada keesaan Allah. Kerana DIA kita diciptakan. Kerana DIA juga kita menjadi sebuah keluarga. Jangan anak sesekali lupa tentang itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Biodata Cikgu Ayu

Minta Cerai Sebab Letih Pada Suami!!!